Rizman Ruzaini terkejut, baju bahu terdedah direka untuk wanita ‘free hair’


Semalam, kecoh mengenai busana dipakai oleh pelakon Natasha Hudson yang mendedahkan bahagian bahunya yang dilapik dengan kain berwarna kulit ketika majlis pelancaran sebuah produk kecantikan.

Berikutan itu, Rizman Ruzaini yang merupakan pereka busana tersebut mengakui terkejut apabila mengetahui koleksi rekaannya itu dipakai oleh selebriti bertudung.

Memetik laporan Kosmo! Online, dress berwarna putih itu telah dibeli seseorang yang tidak diketahui identitinya menerusi dalam talian pada Oktober lalu.

“Baju tersebut adalah koleksi pakaian pengantin yang telah dibuat sejak tiga tahun lalu dan telah dilelong dengan potongan harga sebanyak 90 peratus.
“Sejujurnya, sebagai pereka baju tersebut, saya terkejut dan agak kecewa kerana si pemakainya seorang yang berhijab,” katanya.

Selain itu, Rizman juga mengakui tindakan penatarias pelakon tersebut sedikit sebanyak telah menjatuhkan reputasi jenamanya yang telah bertapak lebih sedekad lalu.

“Sedikit sebanyak tindakan itu boleh mencalarkan imej dan reputasi jenama Rizman Ruzaini yang telah bertapak sejak 15 tahun lalu,” tambahnya.

Dia yang telah banyak menghasilkan busana untuk ramai selebriti berhijab sudah ‘alert’ mengenai fesyen bersesuaian dengan imej wanita menutup aurat.

Menurutnya, busana berkenaan direka khas untuk wanita yang tidak bertudung dan pernah dipakai oleh Fasha Sandha sebelum ini.

“Sejujurnya saya marah juga apabila mendapat tahu Natasha yang memakai baju itu kerana dia berhijab. Rekaan baju tersebut direka untuk wanita free hair dan pernah digayakan oleh aktres Fasha Sandha,” ulasnya.

Rizman juga sempat menegur penatarias majlis tersebut agar lebih peka terutama bagi menjaga imej seorang wanita muslimah yang berhijab.

Sumber: Kosmo! Online (Mohamad Shahemy Azmi)