Berita duka di hari pertama PKP, Hafiz Mahamad disahkan positif Covid-19
Selepas pemergian sahabat baiknya pada penghujung bulan lalu, usahawan Hafiz Mahamad tidak putus menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Walaupun apabila diuji tersekat dalam kesesakan lalu lintas sewaktu banjir di Pahang tempoh hari, dia sempat lagi menghulurkan bantuan kepada penduduk setempat yang terkesan dengan bencana tersebut.
Semalam, warganet menerima khabar duka daripada usahawan berusia 28 tahun di mana dia telah disahkan positif Covid-19 menerusi perkongsian posting di laman sosial Instagram miliknya.
“PKP ni, ingat nak luangkan masa dengan keluarga di rumah sebab sebelum ini jarang ada waktu free sepenuhnya.
“Nah, bangun je pagi bila terima keputusan dan terus ambil bag bawa ke bilik bawah untuk saya kuarantin,” luahnya di ruangan kapsyen ‘posting’.
Menurut Hafiz, dia sering menjalani ‘swab test’ untuk memastikan dirinya sihat dan keputusannya sentiasa negatif. Namun, semalam merupakan hari pertama dia didapati positif.
Bagaimanapun, dia tetap bersyukur kerana doanya agar anak dan isterinya memperoleh keputusan negatif dimakbulkan.
Di kesempatan itu, Hafiz berharap agar semua pengikutnya berada dalam keadaan baik. Dia turut menasihati sesiapa yang mengalami situasi seperti dirinya supaya bertenang dan doa yang baik-baik sahaja.
Hafiz juga mengingatkan individu yang masih sihat dan negatif, jaga diri sebaik mungkin sewaktu PKP ini dan gunakan waktu yang ada bersama keluarga sepenuhnya di rumah.
Menjengah ke ruangan komen, rakan selebriti dan warganet turut meluahkan rasa simpati akan perkhabaran tersebut dengan mendoakan kesembuhannya.
Semoga cepat sembuh!
Semoga Hafiz dan keluarga kuat
Allah nak suruh rehat lah tu…
Kuatkan diri
Ada hikmah semua ni
Hafiz mendirikan rumah tangga bersama Nursyafiqah Aina Abdul Wahab atau lebih dikenali sebagai Syafiqah Aina pada 24 November 2017 lalu dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Raisya Arisa.
Sumber: Instagram Hafiz Mahamad