Ribuan Pekerja Bangladesh Dilapor Tunjuk Perasaan Di Dhaka, Mahu Kembali Ke Malaysia Untuk Bekerja


Tidak dapat pulang ke Malaysia, ribuan pekerja dari Bangladesh yang pulang ke kampung halaman dan terkandas kerana pandemik COVID-19 melakukan tunjuk perasaan di hadapan Kementerian Luar Negeri semalam bagi memohon untuk segera kembali ke negara ini, lapor New Age.

Mereka mengatakan bahawa visa sebahagian besar pekerja migran telah tamat tempoh dan menyebabkan mereka tidak dapat kembali tepat pada waktunya.

Memetik laporan New Age, mereka juga mengatakan bahawa terdapat lebih dari 25, 000 pekerja warga Bangladesh yang bekerja di Malaysia yang terkandas di negara asal kerana COVID-19.

Setiausaha Luar Negeri, Masud Bin Momen menyakinkan para penunjuk perasaan bahawa pihaknya akan berbincang dengan kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Salah seorang penunjuk perasaan mengatakan bahawa dia pulang ke Bangladesh pada 28 Januari dan dijadualkan kembali ke Malaysia pada 6 Mei namun tidak dapat melakukannya kerana penularan pandemik COVID-19.

Para pekerja migran itu juga memohon bantuan dari kerajaan untuk meringankan masalah kewangan kerana mereka telah menganggur selama lebih dari tujuh bulan.