WARGA ASING DIBENAR SOLAT JEMAAH DI MASJID BERMULA 1 SEPTEMBER – ISMAIL SABRI

Kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada rakyat negara asing beragama Islam untuk menunaikan solat berjemaah di masjid.
Bagaimanapun, menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kebenaran itu masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum ini.
Kebenaran berkenaan berkuat kuasa 1 September depan dan ia turut terpakai di surau-surau seluruh negara.
“Mesyuarat Khas juga bersetuju untuk membenarkan warganegara asing untuk menunaikan solat berjemaah di masijd bermula 1 September 2020.”
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,
Menteri Kanan (Keselamatan)
Ketika ini, hanya rakyat Malaysia sahaja dibenarkan untuk menunaikan solat fardhu berjemaah termasuk solat fardhu Jumaat di masjid-masjid.
Jemaah perlu mempamerkan MyKad kepada petugas masjid sebelum diberi kebenaran untuk masuk ke bahagian-bahagian masjid bagi tujuan solat berjemaah.
Jemaah beserta sejadah menunggu kebenaran untuk masuk ke masjid
Sementara itu, Ismai Sabri turut mengumumkan bahawa umat Islam yang pergi ke masjid tidak lagi diwajibkan untuk membawa sejadah sendiri.
Ia berikutan keluhan pengunjung masjid yang kadang kala terlupa membawa sejadah ke masjid dan kemudian dihalang untuk menunaikan solat.
“Setelah mendengar rayuan dari YB Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Mesyuarat Khas Menteri hari ini bersetuju untuk tidak mewajibkan pengunaan sejadah di masjid.”
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,
Menteri Kanan (Keselamatan)
Bagaimanapun penggunaan sejadah adalah digalakkan dan pemakaian pelitup muka masih kekal wajib buat para jemaah.
Ismail Sabri dalam pada itu turut berterima kasih kepada imam dan jawatankuasa masjid kerana tegas dalam memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya. — AlHijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi