Israel dilanda kebakaran besar gara-gara cuaca panas melampau


Israel menghantar pasukan bomba dan pesawat untuk mengawal kebakaran berhampiran Baitulmaqdis selepas cuaca panas melampau mencetuskan kebakaran hutan di seluruh wilayah itu.

Jurucakap Kementerian Keselamatan Awam memaklumkan kira-kira 100 kebakaran dilaporkan di Israel sejak beberapa hari lalu.

“Kira-kira tiga atau empat kawasan terpaksa dipindahkan. Sebanyak 12 pasukan bersama empat pesawat dikerah di Lifta berhampiran lebuh raya utama ke Baitulmaqdis untuk mengawal api marak,” katanya.


Perkhidmatan Meteorologi Israel melaporkan kawasan di Sodom berhampiran Laut Mati mencatatkan suhu 49.9 darjah Celsius yang merupakan rekod paling tinggi sejak 1948.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kematian dilaporkan dalam kebakaran besar itu yang mungkin berpunca daripada kecuaian dan diburukkan lagi oleh suhu tinggi, kemarau serta tiupan angin. – AFP