3 beranak maut terkena renjatan elektrik


TIGA beranak maut selepas terkena renjatan eletrik di rumah mereka di sebuah flat di Ho Ching Road, Taman Jurong, kelmarin.

Berita Harian Singapura melaporkan, mangsa adalah pasangan suami isteri, Omar Manan, 80, Asmah Bujang, 66, dan anak lelaki mereka, Muhamad Ashikin Omar, 45.

Insiden berlaku apabila Omar tergelincir di tandas berkenaan ketika mandi sebelum terkena renjatan elektrik.

Asmah yang menyedari kejadian itu cuba membantu suaminya tetapi turut terkena renjatan elektrik berkenaan.

Bukan setakat pasangan itu sahaja, sebaliknya anak lelaki mereka Muhamad Ashikin juga terkena renjatan elektrik ketika mahu menyelamatkan kedua ibu bapanya sebaik tiba di rumah.


Media tempatan melaporkan, Muhamad Ashikin sempat dibawa ke hospital namun tidak dapat diselamatkan.

Jurucakap polis mengesahkan kejadian itu berlaku pada petang kelmarin.

“Kelmarin iaitu pada jam 4.15 petang, polis dimaklumkan berlakunya kes kematian di sebuah unit di Blok 120 Ho Ching Road.

“Mangsa adalah suami isteri dan ditemui terbaring tidak bergerak di rumah mereka sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh seorang anggota paramedik.

“Manakala, anak kepada pasangan berkenaan yang mengunjungi mereka di unit itu, tidak sedarkan diri ketika dihantar ke Hospital Besar Ng Teng Fong sebelum disahkan meninggal dunia di hospital,” katanya.

Polis menolak kemungkinan insiden itu berlaku disebabkan disebabkan perbuatan khianat namun memaklumkan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Suasana hiba menyelubungi perkarangan Blok 354 Kang Ching Road iaitu rumah keluarga mangsa yang dikebumikan semalam.

Isteri Muhamad Ashikin mengakui masih terkejut dengan apa yang berlaku.

“Saya masih rasa kehilangan dan terkejut,” katanya.



Menerusi hantaran di laman sosialnya kelmarin, wanita itu menyifatkan Muhammad Ashikin sebagai seorang anak dan suami yang baik.

“Hari ini (11 Disember) merupakan hari lahir anak kami yang ke-15 tahun dan 12 Disember ialah hari lahir adik ipar. Beliau kehilangan kedua ibu bapa dan satu-satunya abang,” katanya.

Jiran mangsa dikenali Rahmah, yang tinggal di tingkat 10 berkata, Omar dan Asmah adalah orang yang sangat peramah.

“Saya terperanjat mendengar berita ini. Saya melihat ramai pegawai polis yang datang ke rumah mereka petang Khamis sejak 5 petang,” katanya.

Polis dilaporkan mengeluarkan mayat dari unit itu sekitar 9 malam kelmarin.

Pegawai polis turut memeriksa meter elektrik sebelum meninggalkan unit itu sekitar 11.30 malam.