Umno Mahu Mandat Rakyat Dikembalikan, Cadang Adakan PRU Selepas Situasi C0vid-19 Terkaw4l
Mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam ini memutuskan agar pilihan raya umum (PRU) diadakan selepas pandemik COVID-19 dapat dikawal dan berada di peringkat minimum.
Dalam satu kenyataan malam ini, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mandat rakyat perlu dikembalikan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil.
Keputusan itu merupakan antara enam perkara yang dicapai selepas mesyuarat itu berlangsung hampir empat jam.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO sekali lagi mengulangi pendirian bahawa parti Melayu itu dengan jelas menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja untuk memastikan pentadbiran negara diurus dengan baik berpandukan Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya lagi, pendirian tersebut termasuk memastikan negara tidak diisytiharkan darurat sebagaimana yang dicadangkan oleh kerajaan.
“UMNO terus kekal fokus dan konsisten dengan kenyataan yang sudah berkali-kali dikeluarkan tentang peri pentingnya gencatan politik dan Rekonsiliasi Nasional demi mendepani wabak COVID-19.
“Selain itu, untuk menjaga kebajikan rakyat, keamanan negara dan kestabilan politik,” katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, UMNO adalah sebuah parti yang dasar-dasarnya sentiasa memberi keutamaan kepada agenda rakyat.
“Maka, semua anggota Kabinet yang mewakili UMNO terus kekal dalam kerajaan dan beriltizam untuk terus menjaga kebajikan rakyat dan mempertahankan maruah parti,” katanya lagi.