Israel Meludah Kawasan Penduduk Palestin, Sengaja Takutkan Pasal Covid-19

Kamera Litar Tertutup (CCTV) merakam tindakan pendatang Yahudi dan tentera Israel sengaja meludah di pintu rumah penduduk Arab sekaligus mencetuskan kebimbangan terhadap penularan wabak Covid-19, di kawasan penduduk Palestin.
Perbuatan tidak senonoh itu dirakam CCTV di sekitar Hebron atau ibu kota Al-Khalil, di selatan Tebing Barat kira-kira 30 kilometer selatan Baitulmaqdis, lapor agensi berita Anadolu.
Gambar sekadar hiasan
Mereka bukan sahaja meludah di pintu rumah tetapi juga berhampiran kawasan kedai dan kereta. Gambar dan video tersebut menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat Palestin.
Anggota Majlis Perbandaran Hebron, Suzan Owawi berkata perbuatan biadab itu satu cubaan untuk mencetuskan huru-hara. Beliau berkata pihaknya tahu mengenai kejadian itu dan mengarahkan petugas membersihkan semua kawasan terlibat.
Gambar sekadar hiasan
“Penduduk bandar Beit Ummar di utara Hebron juga menemukan kotak-kotak yang dibuang Tentera Israel di tepi jalan raya utama.
“Selepas diperiksa didapati kotak itu mengandungi peralatan perubatan terpakai seperti penutup hidung dan mulut serta jarum suntikan,” dakwa Owawi.
Jumlah kes Covid-19 di Israel meningkat kepada 12,046, dengan 123 kematian. Sementara Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan jumlah kes jangkitan sebanyak 329 dan dua kematian.
Sumber : Bernama